• Patah Pinggul Dilanggar Van Sekolah

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Hani Aufa Mohd Sapizee, patah tulang pinggul dan mengalami kecederaan dalaman akibat dilanggar van sekolah di depan rumah pengasuhnya di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, kelmarin.

    Ibu mangsa dikenali sebagai Anis berkata, kejadian berlaku pada 4.30 petang selepas Hani Aufa turun dari van sekolah.

    Menurutnya, anaknya yang juga murid Tadika Agama Johor di Taman Pasir Putih kebiasaannya jalan di belakang van untuk memasuki rumah pengasuh sebaliknya pada hari kejadian bergerak di depan kenderaan berkenaan.

    Katanya, pemandu van yang tidak menyedari perkara itu melanggar Hani Aufa.

    "Saya yang bekerja di sebuah syarikat swasta menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu Hani Aufa terbabit dalam kemalangan dan meminta saya segera ke rumahnya.

    "Saya membawa Hani Aufa ke Hospital Sultan Ismail (HSI)," katanya.

    Anis berkata, akibat kejadian berkenaan, Hani Aufa patah tulang pinggul kanan dan mengalami kecederaan dalaman termasuk di paru-paru, hati dan usus.

    "Saya dan keluarga reda dengan kejadian menimpa Hani.

    "Sebelum ini kami tidak berdepan dengan sebarang masalah dengan pemandu van berusia 40-an kerana dia seorang yang peka dengan keselamatan anak dan bersikap penyayang.

    "Dia juga meminta maaf dan mengunjungi anak kami beberapa kali di hospital," katanya.

    Anis berkata, keluarganya bagaimanapun terkilan dengan kisah berkaitan anaknya ditular di laman sosial.

    "Ada yang tular kononnya anak saya patah pinggang namun perkara berkenaan tidak benar.

    "Kini Hani Aufa dalam keadaan stabil dan kami berharap kesihatannya bertambah baik," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Patah Pinggul Dilanggar Van Sekolah "