• Padah Bawa Kerbau 'Haram'

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+

    Polis tahan dua lelaki yang membawa tujuh kerbau dari Sabah tanpa permit daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Kampung Patarikan di Lawas, semalam.

    Suspek berusia 44 tahun dan 58 tahun ditahan kira-kira 9.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas menjalankan risikan beberapa hari lalu.

    Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kerbau yang dirampas dibawa masuk menggunakan laluan tikus dari Sabah untuk dijual di daerah ini.

    Menurutnya, suspek dipercayai sudah beberapa kali menjalankan kegiatan penyeludupan haiwan itu dan tidak mendapatkan permit membawa masuk haiwan ternakan daripada JPV.

    "Ketika serbuan dijalankan, semua suspek sedang memasukkan kerbau berkenaan di bahagian muatan lori untuk dibawa kepada pembeli.

    "Mengikut harga pasaran, seekor kerbau boleh mencecah antara RM3,000 hingga RM4,000 dan permintaannya semakin tinggi menjelang Hari Raya Aidiladha," katanya, hari ini.

    Beliau berkata, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 23(1) Enakmen Haiwan 2015 manakala kerbau yang dirampas diserahkan kepada JPV untuk tindakan lanjut.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Padah Bawa Kerbau 'Haram' "