• PAC Puas Hati Penjelasan KKM

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen sebulat suara berpuas hati dengan penjelasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam aspek penambahbaikan penyimpanan stok ubat serta kawalan dalaman untuk perolehan ubat.

    Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan kenyataan daripada saksi yang dipanggil untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.

    Beliau yang membentangkan laporan PAC itu di Dewan Rakyat, hari ini, turut mengesyorkan KKM mengambil tindakan dengan Jabatan Audit Negara (JAN) untuk mengisi kekosongan jawatan di Bahagian Audit Dalaman KKM bagi mengukuhkan kawalan dalaman dan pengurusan perolehan ubat.

    "Selain itu, peraturan dan prosedur kewangan perlu sentiasa dipatuhi, terutama dalam aspek perolehan, pentadbiran kontrak dan pengurusan bayaran serta meningkatkan pemantauan prestasi pembekal.

    "KKM perlu meningkatkan publisiti dan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya mengelakkan pembaziran ubat dan mempercepat pelaksanaan sistem teknologi maklumat yang dibangunkan bagi memastikan pengurusan ubat yang lebih cekap," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Sebelum ini, isu itu dibangkitkan dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2015 siri kedua, yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 November lalu.

    Berikutan itu, PAC Parlimen memulakan prosiding berkaitan isu pengurusan bekalan ubat di klinik kesihatan pada 7 Disember lalu dengan memanggil Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " PAC Puas Hati Penjelasan KKM "