• Niosh Cadang Pasport Keselamatan Untuk Wartawan

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+


    BANGI – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) mencadangkan supaya organisasi media melaksanakan program pasport keselamatan seperti yang diamalkan industri minyak dan gas serta syarikat multinasional.

    Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata pasport keselamatan merupakan kursus sehari yang dikendalikan NIOSH melibatkan taklimat dan induksi merangkumi panduan keselamatan dan kesihatan secara umum termasuklah keselamatan dalam perjalanan ke tempat tugasan dan ketika berada di lapangan.

    “Bagaimanapun ini adalah sekadar cadangan daripada NIOSH sahaja dan ia bergantung kepada reaksi organisasi media,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Untuk Pengamal Media 2017 di ibu pejabat NIOSH di sini hari ini.

    Tambah Lee, tahap kesedaran pihak media mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan amat rendah dan NIOSH komited untuk membantu industri media dalam meningkatkan pemahaman mereka menerusi program pasport keselamatan.

    Jelasnya, program pasport keselamatan bukanlah skim insurans tapi hanyalah program latihan sehari mengenai undang-undang dan aspek keselamatan dalam perjalanan ke tempat kerja serta ketika berada di kawasan liputan yang berisiko.

    Menurut Lee, antara kes yang membimbangkan ialah pembunuhan warga Korea Utara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) menggunakan ejen saraf VX Februari lepas yang petugas media dilihat tidak menggunakan sebarang perlindungan ketika membuat liputan.

    Katanya Garis Panduan Bagi Profesional Media 2012 menyediakan maklumat lengkap mengenai amalan kerja selamat bagi pengamal media.

    Lebih 50 pengamal media dan penulis blog hadir pada seminar separuh hari yang melibatkan ceramah mengenai pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja dan simulasi menyelamatkan wartawan yang terperangkap dalam ruang sempit yang dijalankan di makmal simulasi ruang terkurung NIOSH. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Niosh Cadang Pasport Keselamatan Untuk Wartawan "