• Nikah Di Siam : Denda RM3,000 Mungkin Jadi RM300 Saja

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    ALOR SETAR : Denda pasangan yang berkahwin di sempadan Thailand mungkin dikurangkan kepada RM300 hingga RM400 berbanding RM3,000 sebelum ini.

    Kerajaan Kedah bercadang memudahkan proses pendaftaran perkahwinan rentas sempadan bagi mengelak pengabaian hak isteri dan anak, lapor Berita Harian.

    Exco agama negeri berkata jabatan agama Islam dan mahkamah syariah turut terlibat bagi melancarkan proses pendaftaran yang bermula bulan depan.

    “Kita akan memberi tumpuan kepada suami isteri yang sudah mempunyai anak,” kata Datuk Mohd Rawi Abd Hamid di Dewan Undangan Negeri hari ini.

    “Kita mahu memastikan isteri memperoleh sijil nikah sah dan anak mendapat kad pengenalan kerana ketiadaan dua dokumen terbabit akan menyukarkan pelbagai urusan.”

    Beliau menjawab soalan tambahan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil) berhubung langkah Kedah membantu keluarga yang tidak mendaftar perkahwinan.

    Rancangan pendaftaran itu mengambil ilham daripada program Jom Daftar Nikah selama empat bulan di Selangor yang bermula bulan ini, kata Mohd Rawi lagi.

    “[Langkah] ini bukan menggalakkan orang ramai berkahwin di sempadan tetapi kita mahu pastikan mereka yang sudah lama berkahwin tetapi gagal mendaftar, dapat berbuat demikian bagi memudahkan masa depan keluarga masing-masing,” katanya seperti dilaporkan. - MalayMail

    Subjects:

  • No Comment to " Nikah Di Siam : Denda RM3,000 Mungkin Jadi RM300 Saja "