• Neymar Tampil Kali Pertama Di Laman Sendiri

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    PARIS: Selepas memukau dalam penampilan sulungnya menyarung jersi Paris Saint-Germain, Neymar akan tampil buat kali pertama di laman sendiri bersama kelab barunya menentang Toulouse, Ahad ini.

    Pemain paling mahal di dunia itu menyumbat satu gol dan membantu mencipta satu lagi ketika menyerlah buat PSG menumpaskan Guingamp 3-0 di gelanggang lawan di Brittany hujung minggu lalu untuk mengekalkan permulaan sempurna bagi musim baru Perancis.

    Pemain yang dibeli dengan harga 222 juta euro (RM1.1 bilion) dari Barcelona itu sudah turun ke padang di Parc des Princes ketika diperkenalkan secara rasmi sebelum mereka menang 2-0 ke atas Amiens pada hari pertama kempen baru.

    Namun dia tidak sempat didaftarkan tepat pada masanya bagi perlawanan itu jadi penyokong PSG teruja untuk melihat aksi pemain berusia 25 tahun itu menentang Toulouse. Sebaliknya jurulatih pasukan lawan mula berasa bimbang.

    “Kami hadir ke Paris pertamanya akan cuba bertahan, itu sudah pasti. Kami akan bertahan habis-habisan,” kata Pascal Dupraz, pasukannya menewaskan PSG di laman sendiri dan seri di tempat lawan musim lalu dalam laluan berakhir di pertengahan liga.

    “Saya percaya dengan kemungkinan mendapat keputusan baik di Paris. Itulah keindahan bola sepak. Jika saya tidak percaya, maka seharusnya saya melakukan perkara lain.”

    Dupraz, yang mendapat khidmat pemain sayap Ivory Coast, Max-Alain Gradel secara pinjaman dari Bournemouth minggu ini berkata: “Kami memerlukan tuah kerana pasukan PSG ini ternyata terlalu kuat.

    “Tapi hati-hati jangan menganggap perlawanan ini Toulouse menentang Neymar! Saya fikir Paris akan menjuarai liga dan mara lebih jauh di Eropah.”

    PSG sibuk cuba mengurangkan bil gaji mereka berikutan kehadiran Neymar dan meminjamkan penyerang Sepanyol, Jese kepada Stoke City selain bersetuju menjual pemain tengah Perancis, Blaise Matuidi kepada Juventus dengan harga 20 juta euro (RM101 juta).-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Neymar Tampil Kali Pertama Di Laman Sendiri "