• Neymar ledak gol pada penampilan pertama

    Published: Monday, 14 August 2017
    A- A+


    PARIS: Neymar tidak membazirkan banyak masa untuk menunjukkan taringnya bersama Paris Saint-Germain (PSG), meledak gol pada penampilan pertama bagi membantu kelab baharunya meraih kemenangan 3-0 ke atas Guingamp, awal pagi tadi.

    Dengan kemenangan itu Neymar yang menjadi rekod termahal dunia selepas berpindah dari Barcelona dengan nilai 222 juta euro (RM1.12 bilion), mendedahkan yang dirinya kini 'lebih bersemangat daripada biasa'.

    Pemain berusia 25 tahun itu yang diturunkan jurulatih Unai Emery, memainkan peranan utama ketika Jordan Ikoko menjaringkan gol sendiri pada awal babak kedua perlawanan.

    Dia kemudiannya membantu gol kedua yang disempurnakan Edinson Cavani sebelum meledak jaringan ketiga pada baki lapan minit terakhir permainan bagi membolehkan PSG meraih kemenangan selesa.

    "Ramai yang fikir meninggalkan Barca seperti membunuh diri tetapi ia tidak begitu, ia sama sekali bertentangan," kata Neymar.

    "Saya lebih bersemangat daripada biasa. Saya bermain, saya sangat gembira. Hanya negara, bandar dan pasukan yang berubah, tetapi bola sepak tetap sama."

    Neymar adalah salah seorang daripada empat pemain Brazil disenaraikan dalam kesebelasan utama PSG, tidak termasuk pemain tengah Itali kelahiran Brazil, Thiago Motta yang beraksi di Stade du Roudourou.

    "Saya sangat gembira. Apa yang penting ialah untuk meraih menang. Pasukan bermain dengan baik dan saya juga bermain dengan baik," kata Neymar.

    "Kami cuba meningkat sepanjang masa dan kami tahu mahu mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain tetapi ia mudah untuk bermain dengan pemain berkualiti.

    "Adalah amat penting untuk menjaringkan gol, bukan saja dalam perlawanan pertama. Saya sangat tenang.

    "Ini adalah satu cabaran besar buat saya selaku seorang manusia tetapi kami mempunyai pasukan yang hebat dan musim baharu saja bermula." - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Neymar ledak gol pada penampilan pertama "