• Neymar Bantu PSG Jinak Toulouse

    Published: Monday, 21 August 2017
    A- A+


    PARIS: Neymar menyerlah dari mula hingga awal pada penampilan sulungnya di laman sendiri buat Paris Saint-Germain, menjaringkan dua gol membantu membelasah Toulouse 6-2 pada aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

    Bintang Brazil itu terbabit dalam setiap gerakan bahaya kelab barunya di Parc des Princes apabila mereka bangkit daripada kejutan ketinggalan berikutan gol awal Max Gradel.

    Neymar menyumbat gol penyamaan dan pemain berharga 222 juta euro (RM1.1 bilion) itu kemudiannya menambah gol terakhir selepas gol daripada Adrien Rabiot, Edinson Cavani (penalti), Javier Pastore dan Layvin Kurzawa.

    Marco Verratti dibuang padang buat PSG pada pertengahan babak kedua dan Toulouse pada satu ketika merapatkan jurang 2-3 namun mereka diratah pemain termahal dunia itu.

    “Saya berasa amat gembira dan tenang, saya berasa di rumah sendiri. Saya menyesuaikan diri dengan sepantas mungkin. Saya semakin baik dari segi fizikal dan saya masih boleh meningkat,” kata pemain berusia 25 tahun itu selepas perlawanan.

    Ia kemenangan ketiga PSG dalam tiga aksi liga musim ini dan mereka menyertai juara bertahan AS Monaco dan Saint-Etienne mengumpul sembilan mata maksimum setakat ini.

    Neymar memainkan peranan dalam semua gol pasukannya ketika menang 3-0 ke atas Guingamp minggu lalu, menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya dalam kancah bola sepak Perancis sejak perpindahan dengan rekod dunia dan dia sekali lagi bertindak cemerlang di Parc des Princes.

    “Jika saya melupakan hakikat saya adalah jurulatih Toulouse, amat bagus bagi bola sepak melihat tahap permainan mengagumkan sebegitu,” kata jurulatih pasukan lawan Pascal Dupraz mengenai persembahan Neymar.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Neymar Bantu PSG Jinak Toulouse "