• Negara Hancur Jika...

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perimbangan perlu ada antara tuntutan material dan nilai sosial supaya Malaysia tidak menjadi sebuah negara yang hancur.

    "Saya memberi penekanan kepada perimbangan kerana ini realiti yang dihadapi oleh banyak negara maju yang seharusnya kita belajar daripada kesilapan mereka untuk tidak berlaku kesilapan sama di negara kita.

    "(Ini) supaya negara kita tidak menjadi negara yang hancur apabila dari segi infrastrukturnya hebat tetapi meninggalkan institusi kekeluargaan dengan menghantarkan ibu bapanya yang telah tua ke rumah orang tua.

    "Tidak ada lagi nilai sosial di mana seorang ibu boleh menjaga sembilan anak tetapi belum tentu sembilan anak boleh menjaga seorang ibu. Kita tidak mahu nilai itu," katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Perasmian Konvensyen Pembangunan Luar Bandar 2017 di Kuala Lumpur, hari ini.

    Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Konvensyen itu julung kali diadakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi mendapatkan pandangan dan aspirasi pihak berkepentingan dalam merangka dasar dan hala tuju pembangunan luar bandar bagi tempoh sehingga 2050.

    Ahmad Zahid berkata, apabila nilai materialistik menjadi keutamaan, tidak akan ada roh kemelayuan dan kebumiputeraan, bahkan tidak akan ada lagi nilai tradisional untuk dipertahankan.

    "Walaupun kita berbeza agama, tidak ada satu pun agama yang mengajar keburukan. Kita mahukan kemajuan, tapi terlalu banyak nilai negatif. Dan nilai yang sepatutnya menjadi kemajuan telah dinegatifkan.

    "Bagaimana kadar jenayah dan penyalahgunaan dadah meningkat? Bagaimana kebejatan sosial berlaku? Ini adalah cabaran yang harus kita fikirkan. Kita lihat sesuatu yang mesti kita fokus ialah perimbangan," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Negara Hancur Jika... "