• Natasha sasar Program Podium

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: Pemain boling negara, Natasha Mohamed Roslan mahu menjadikan penyertaan beliau pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sebagai platform untuk diserapkan ke dalam Program Podium, iaitu program persediaan untuk atlet elit.

    Natasha, 21, yang merupakan juara Remaja Wanita Dunia 2016 berkata KL2017 merupakan peluang terbaik buat dirinya untuk terus menempah kejayaan sekali gus mengukir nama dalam sukan tersebut.

    "Walaupun saya bukan bawah Program Podium dan hanya 'Kita Juara', tetapi ahli pasukan saya tidak pernah pandang rendah dan terus membantu saya untuk melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui Bernama selepas latihan pasukan Sukan SEA di Sunway Mega Lanes di sini.

    Natasha antara atlet bukan di bawah Program Podium dalam skuad boling tenpin negara selain Ahmad Muaz Fishol yang akan menggalas cabaran negara bersama 10 atlet Program Podium dalam KL2017.

    Atlet Program Podium yang akan berentap dalam KL2017 adalah Adrian Ang, Alex Liew, Rafiq Ismail, Shalin Zulkifli, Ester Cheah, Sin Li Jane, Timmy Tan, Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

    Juara kategori wanita pada Kejohanan Boling Kebangsaan itu turut menyasarkan untuk meraih pingat emas acara berpasukan dan sebarang pingat bagi acara individu wanita pada Sukan SEA ke-29 kali ini.

    Natasha yang mula menyertai skuad kebangsaan sejak empat tahun lepas menghadiahkan pingat emas buat negara dalam kategori berpasukan wanita pada penampilan sulungnya di Sukan SEA Singapura 2015.

    Skuad boling tenpin negara mahu mengekalkan penguasaan dan menjadi juara keseluruhan sukan itu pada KL2017.

    Di Singapura, skuad bimbingan ketua jurulatih Holloway Cheah itu menang lima daripada 11 pingat emas yang dipertandingkan selain satu perak dan empat gangsa.

    Acara boling tenpin akan bermula pada 21 hingga 25 Ogos. - BERNAMA

    Foto: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

    Subjects:

  • No Comment to " Natasha sasar Program Podium "