• Najib Terima Kunjungan Hormat Perpisahan Khalid

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di pejabatnya di sini.

    Khalid akan bersara pada bulan depan selepas 40 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    Pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu antara lain membincangkan hal ehwal PDRM serta sokongan kerajaan kepada PDRM sehingga berada pada tahap hari ini.

    Khalid, yang genap berusia 60 tahun pada 5 Sept, sebelum ini mengakui tidak akan menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara selepas tarikh kelahirannya itu, yang juga tarikh rasmi persaraannya.

    Khalid memulakan kerjaya dengan PDRM pada 1976 dan pernah menyandang pelbagai jawatan antaranya sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Polis Selangor.

    Kerjayanya berkembang selepas dilantik sebagai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman pada 2010 sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada April 2011 menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

    Pada 17 Mei 2013, Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Terima Kunjungan Hormat Perpisahan Khalid "