• Najib Ajak Rakyat Terus Bersatu Hati Bangunkan Malaysia

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR : Sempena Hari Kebangsaan 2017 yang bakal disambut Khamis ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat Malaysia untuk terus bersatu hati dalam usaha membangunkan negara.

    Beliau berkata pencapaian yang dikecapi kini seperti pembangunan dalam bidang teknologi yang menjadikan Malaysia disegani di serata dunia serta pembangunan ke arah modenisasi tidak berlaku sekelip mata, sebaliknya merupakan hasil usaha sama pelbagai pihak.

    Dalam satu klip video sempena Hari Kebangsaan 2017 yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter beliau hari ini, Najib berkata usaha membangunkan negara akan tetap diteruskan.

    "Kita tidak akan berhenti di sini sahaja, malah akan terus mengorak langkah dalam melaksanakan tanggungjawab kita demi negara ini.

    "Kita mampu melakukannya jika kita bersatu hati. Ayuh! Mari kita terus melangkah dengan satu matlamat demi kejayaan bersama. Selamat Hari Kebangsaan dan Selamat Hari Malaysia," katanya dalam klip video yang berdurasi selama seminit itu.

    Klip video itu turut memaparkan kejayaan beberapa atlet negara di Sukan SEA ke-29 yang sedang berlangsung, serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

    Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 Sept. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Najib Ajak Rakyat Terus Bersatu Hati Bangunkan Malaysia "