• MPKS Sambut Baik Usaha Abang Johari Wujudkan Hab Perubatan Bersepadu

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+
    KOTA SAMARAHAN, 10 Ogos (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) gembira kerana Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mewujudkan hab perubatan bersepadu berharga RM4 bilion di Kota Samarahan, bersebelahan dengan Pusat Jantung Sarawak, kata pengerusinya Datuk Peter Minos.

    "Ini sesuatu yang besar bagi Sarawak kerana penjagaan kesihatan yang baik untuk orang ramai amat diperlukan dan hab perubatan ini akan mewujudkan dan mendorong kelahiran aktiviti lain seperti penyelidikan perubatan dan perubatan alternatif," katanya.

    Menurut beliau, apabila dibangunkan sepenuhnya, hab perubatan itu akan menyaksikan wujudnya pertumbuhan lain, termasuk kedatangan rakyat dari negara asing seperti Indonesia untuk mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan, yang sekali gus merancakkan pelancongan kesihatan.

    "MPKS sudah tentu akan memberi sokongan penuh kepada projek hab perubatan ini kerana ia akan meletakkan Sarawak di peta dunia, selain menjadikan Kota Samarahan lebih terkenal," katanya.

    Kota Samarahan, yang juga dikenali sebagai "Kota Ilmu", turut menempatkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), sebuah maktab latihan perguruan dan sebuah sekolah vokasional. -- BERNAMA
  • No Comment to " MPKS Sambut Baik Usaha Abang Johari Wujudkan Hab Perubatan Bersepadu "