• Militan Sarat Mengandung Dipenjara

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    JAKARTA: Seorang wanita Indonesia dijatuhi hukuman tujuh tahun setengah penjara kerana pembabitan dalam rancangan melakukan serangan bom nekad ke atas istana presiden, kata peguamnya semalam.

    Dian Yulia Novi ditahan di rumah tumpangan dengan tiga kilogram bom dibungkus dalam periuk tekanan pada malam sebelum serangan pada Disember lalu.

    Novi, 28, yang hamil sembilan bulan, didapati bersalah melakukan tindakan keganasan oleh Mahkamah Daerah Jakarta Timur.

    "Hakim berkata, apa yang dilakukan adalah bertentangan dengan usaha kerajaan membasmi keganasan dan menyebabkan kekecohan," kata peguamnya, Kamsi.

    Ia adalah kali pertama wanita disabitkan berhubung plot serangan bom nekad di Indonesia dan menunjukkan peranan lebih aktif diambil wanita dalam melakukan keganasan.

    Novi dan suaminya adalah antara lima militan yang ditahan berhubung rancangan itu tahun lalu.

    Seorang lagi wanita yang didakwa merekrut Novi, Tutin Sugiarti, dijatuhi hukuman tiga tahun setengah, kata Kamsi.

    Polis percaya kumpulan itu ada kaitan dengan Bahrun Naim, militan Indonesia yang kini menyertai Daesh di Syria. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Militan Sarat Mengandung Dipenjara "