• Menjadikan Malaysia Salah Satu Peneraju Bandaraya Berkarbon Rendah

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    PEMBANGUNAN bandar adalah punca utama pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang kepada masalah perubahan iklim global.

    Didorong oleh peningkatan penduduk, keadaan ini akan bertambah buruk melainkan langkah-langkah diambil untuk melaksanakan pembangunan hijau dan mampan.

    Bagi Malaysia, salah satu penggerak penting untuk mengurangkan pelepasan karbon ialah dengan menerima pakai Perjanjian Paris mengenai Perubahan Iklim pada tahun 2015.

    Di Paris, kita telah menyatakan komitmen untuk mengurangkan intensiti karbon daripada KDNK sebanyak 45 peratus menjelang tahun 2030 berbanding dengan tahap intensiti pada tahun 2005.

    Menerima pendekatan pembangunan karbon rendah untuk bandar-bandar dan kawasan perbandaran adalah penting untuk menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berkarbon rendah dan berteraskan iklim hijau.

    Justeru, pada tahun 2011, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memperkenalkan sistem berasaskan prestasi yang dikenali sebagai Rangka Kerja Bandaraya Karbon Rendah (LCCF) sebagai panduan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemaju dalam membuat keputusan berhubung solusi yang lebih hijau.

    Bandar-bandar Karbon Rendah, Negara Karbon Rendah

    Peningkatan rakan kongsi yang berminat dalam LCCF menandakan keberhasilan usaha ini. Pada tahun 2012, sebanyak sembilan pihak berkuasa tempatan menjadi rakan kerjasama untuk LCCF.

    Kini, jumlahnya meningkat kepada 52 pihak berkuasa tempatan dengan 22 daripadanya telah mula melaksanakan pembangunan asas mereka.

    Salah satu perintis perbandaran hijau yang utama ialah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

    Ia menjadi peneraju kepada bandar berkarbon rendah yang mampan, dengan matlamat mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 60 peratus menjelang 2025 berbanding tahap intensiti pada 2012, dan mengurangkan haba dalam bandar sebanyak dua darjah celsius.

    Kebanyakan bangunan kerajaan di Putrajaya telah menerima pakai piawaian bangunan hijau dan dinilai oleh Indeks Bangunan Hijau.

    Inisiatif-inisiatif lain yang dilaksanakan termasuk pemasangan PV solar di bangunan kerajaan terpilih, penggunaan lampu LED secara meluas, pengaktifan bas elektrik, perluasan laluan basikal, penempatan mesin pengkomposan, dan pengenalan kepada pertanian bandar.

    Minggu Bandar-bandar Hijau di Ekspo 2017

    Awal minggu ini, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPJ), Datuk Seri Hasim Ismail telah berucap mengenai usaha merealisasikan Putrajaya sebagai bandar hijau pentadbiran global yang mampan semasa EXPO 2017 di Astana, Kazakhstan.

    Selain beliau, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk Maimunah Mohd Sharif, turut berkongsi kejayaan Majlis Perbandaran

    Seberang Perai (MPSP) meningkatkan kemampanan bandar sebagai bandaraya berkarbon rendah di Malaysia.

    Sesi perbincangan ini adalah sebahagian daripada program "Minggu Bandaraya Mampan" yang dianjurkan oleh Malaysia di EXPO 2017 bagi menyampaikan kepakaran dan pengalaman negara kita dalam pembangunan mampan.

    Sebagai tambahan kepada LCCF, wacana tentang pengurusan karbon melalui Alat Pengekalan Karbon dan Pengekalan Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) juga disampaikan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

    Antara perbincangan lain yang diadakan pada minggu itu termasuk daripada Malaysian Green Technology Corporation, ICLEI - Kerajaan Tempatan untuk Kemampanan, Universiti Kebangsaan Malaysia, CENVIRO, Sime Darby Property, Indeks Bangunan Hijau (GBI), dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Menjadikan Malaysia Salah Satu Peneraju Bandaraya Berkarbon Rendah "