• McLeod Hadiah Kemenangan Buat Bolt

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    LONDON: Omar McLeod mengembalikan semula senyuman buat kem pecut Jamaica apabila memenangi acara 110 meter lari berpagar pada Kejohanan Dunia IAAF awal pagi tadi sebelum menghadiahkan kemenangan itu kepada Usain Bolt.

    Berikutan kekalahan mengejut Bolt dan Elaine Thompson dalam acara 100m, McLeod, antara pelari pilihan lain dari negara kepulauan Caribbean itu, tidak melakukan kesilapan untuk menambah mahkota dunia dan gelaran Olimpik dimenanginya tahun lalu.

    Pelari berusia 23 tahun itu mendominasi perlumbaan, menang dengan catatan 13.04 saat (s), semeter mendahului juara bertahan Sergey Shubenkov, pelari Russia yang bertanding atas tiket 'atlet neutral dibenarkan' dengan negaranya masih diharamkan daripada terbabit dalam olahraga dunia.

    "Dia masih legenda! Usain, abang, ini untuk awak!" kata McLeod yang meraikannya dengan berlari sekeliling trek sebelum memeluk ibunya di Stadium London.

    Shubenkov, yang melakukan 13.14s, adalah pelari Russia yang menang pingat di London manakala pelari Hungary, Balazs Baji mengutip gangsa dengan catatan 13.28s.

    Pemegang rekod dunia, Aries Merritt dari Amerika Syarikat, yang menang gelaran Olimpik di stadium yang sama lima tahun lalu, bermula dengan bagus tetapi gagal meneruskannya apabila sekadar menduduki tempat kelima dengan catatan 13.31s. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " McLeod Hadiah Kemenangan Buat Bolt "