• Mayat Anggota Polis Ditembak Dibawa Balik Ke Sarikei Malam Ini

    Published: Thursday, 31 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Mayat mendiang Lans Koperal Valentino anak Mesa, 29, yang ditemukan maut, dipercayai dibunuh, ketika bertugas di kaunter pertanyaan Balai Polis Pinggiran Subang Jaya awal hari ini, akan dibawa pulang ke Sarikei, Sarawak malam ini.

    Abang ipar mangsa, Mohd Dilang, 33, berkata mayat mendiang dijadual diterbangkan ke Lapangan Terbang Sibu menggunakan pesawat Malaysia Airlines pada 7.45 malam ini sebelum dibawa ke kampungnya di Lubuk Besar, Sarikei.

    “Seluruh ahli keluarga masih terkejut dengan berita ini, saya sendiri masih tidak boleh terima apa yang berlaku terhadapnya,” katanya yang ditemui Bernama di Jabatan Forensik, Hospital Serdang bagi menuntut mayat mendiang selepas bedah siasat, dekat sini hari ini.

    Mohd Dilang menyifatkan adik iparnya sebagai seorang yang sentiasa positif serta berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.

    “Memang dia rapat dengan ahli keluarga terutama anak saya,” kata Mohd Dilang.

    Isteri mendiang yang hanya dikenali sebagai Rossi turut berada di Hospital Serdang namun enggan ditemu bual.

    Sementara itu, seorang rakan mendiang yang mahu dikenali sebagai ‘Abang’, berkata Valentino tidak mempunyai musuh dan mesra berkawan dengan ramai orang.

    “Dia jadi rujukan untuk kami jika berlaku apa-apa kes, dan dia juga sering memberi nasihat kepada kami khususnya kepada orang Sarawak yang bekerja di Semenanjung,” katanya.

    Terdahulu dilaporkan Valentino ditemui dalam keadaan tertiarap oleh Unit Peronda Polis yang balik ke balai selepas membuat rondaan kira-kira 3.25 pagi.
    Dia dipercayai maut akibat satu das tembakan jarak dekat pada badan selain kesan tetakan senjata tajam. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Mayat Anggota Polis Ditembak Dibawa Balik Ke Sarikei Malam Ini "