• Maut Terperosok Bawah Bas

    Published: Friday, 11 August 2017
    A- A+

    Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah bas henti-henti akibat terjatuh ke laluan bertentangan dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir berhampiran Masjid Kariah Kuala Jemapoh, Kuala Pilah, hari ini.

    Kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari menyebabkan mangsa Mohammad Iqzwan Mohammad Radzmy, 19, dari Taman Pemarak, Tanjung Ipoh, di sini, maut di tempat kejadian.

    Mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari Kuala Pilah ke Batu Kikir, manakala bas henti-henti dari Bahau ke Kuala Pilah.

    Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa cuba mengelak sebuah kereta di hadapan lalu membrek secara mengejut.

    Keadaan itu mengakibatkan mangsa terjatuh dan tercampak ke laluan bertentangan sebelum sebuah bas henti-henti tidak sempat mengelak lalu merempuhnya hingga terperosok di bawah kenderaan terbabit.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Adnan Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.20 tengahari lalu bergegas ke lokasi.

    "Setibanya di lokasi, kami mendapati mangsa berada di bawah bas dan mengarahkan pemandu bas itu supaya mengundurkan kenderaan bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dilakukan.

    "Seramai sembilan anggota dikerahkan ke lokasi bersama sebuah jentera dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS). Bagaimanapun, 20 penumpang berada dalam bas termasuk pemandu selamat," katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Terperosok Bawah Bas "