• Maut Dibunuh Pengebom Berani Mati

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    GAZA CITY: Seorang pengawal Hamas maut dibunuh pengebom berani mati di selatan Gaza semalam, dalam serangan dianggap pelik yang dipercayai dilaksanakan golongan berhaluan kanan terhadap kumpulan Palestin yang mentadbir kawasan itu sejak 10 tahun lalu.

    Kejadian berlaku pada jam 1 pagi (waktu tempatan) berhampiran kawasan lintasan tunggal Semenanjung Gaza dengan Mesir di Sinai, tempat golongan radikal melancarkan pemberontakan terhadap tentera Mesir.

    Menurut sumber keselamatan, ia serangan berani mati pertama yang menyasarkan Hamas di Gaza.

    Kementerian dalam negeri Hamas berkata dalam satu kenyataan: “Anggota keselamatan menghalang dua orang menghampiri sempadan selatan (dengan Mesir). Seorang daripadanya tiba-tiba meletupkan diri.”

    Jurucakap kementerian itu, Iyad al-Bozum kemudian mengesahkan ia serangan berani mati.

    Dua lelaki dilaporkan menghampiri pos kawalan dan dihalang lima anggota sebelum letupan berlaku. Suspek kedua dilaporkan cedera ringan manakala empat pengawal turut cedera, seorang daripadanya parah.

    Saksi berkata, ratusan anggota keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian selepas letupan.

    Sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam berkata, anggotanya Nidal al-Jaafari, 28, terbunuh dalam serangan itu selain turut memuat naik beberapa gambar mangsa berpakaian seragam tentera dan bersenjata.

    Hamas menuduh ‘kumpulan pelampau’ atas serangan itu, tetapi masih menyiasat latar belakang dan motif di sebalik kejadian.

    Menurut sumber, serangan berlaku beberapa ratus meter dari kawasan lintasan masuk ke Mesir.

    Hamas mentadbir Gaza sejak sedekad lalu tetapi kerap dikritik golongan lebih radikal di situ dengan beberapa ancaman dibuat susulan penahanan puluhan golongan Salafi.

    Bagaimanapun, sumber mendakwa kejadian semalam membabitkan individu yang bertindak sendirian tanpa persetujuan ketua Salafi.

    Sementara itu, hasil mesyuarat tergempar, Hamas dan kumpulan politik lain di Gaza mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk kejadian itu yang dianggap ‘memanfaatkan penjajah Yahudi.’-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Maut Dibunuh Pengebom Berani Mati "