• Masyarakat Diseru Sokong Projek Pembangunan

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    SPAOH: Projek pembangunan yang dilaksanakan kerajaan memerlukan sokongan padu daripada masyarakat bagi memudahkan pelaksanaannya, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Mohamad Razi Sitam.

    Menurutnya, pelaksanaan projek pembangunan yang dibawa kerajaan akan dapat menggerakkan kemajuan pentadbiran kampung yang secara langsung akan merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.

    "Saya mohon supaya jangan disulitkan urusan pembangunan yang dibawa kerajaan, sebaliknya berilah kerjasama antara satu sama lain agar projek yang dijalankan tidak tergendala.

    "Kerajaan menyediakan pelbagai platform bagi merancakkan pembangunan masyarakat luar bandar agar tidak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas yang patut mereka terima.

    "Namun, terdapat sedikit kesulitan berhubung pelaksanaan projek manaik taraf pembinaan jalan lorong laluan ke rumah penduduk," ujarnya.

    Memetik laporan Utusan Borneo, Razi kecewa kerana masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan mudah sekiranya penduduk kampung memiliki semangat toleransi yang tinggi.

    Katanya, kesepakatan dan semangat perpaduan akan dapat membantu menyelesaikan masalah tanpa sebarang gangguan.

    "Dalam situasi sebegini, penduduk kampung yang berumah di sepanjang kawasan projek perlu duduk bersama serta berbincang bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

    "Saya menyarankan pemimpin di peringkat akar umbi dapat memainkan peranan yang lebih aktif sebagai pemudah cara bagi menyelesaikan sebarang isu dan masalah di kawasan masing-masing," jelasnya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Masyarakat Diseru Sokong Projek Pembangunan "