• Masalah Visa, 67 Jemaah Haji Malaysia Terkandas

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Seramai 67 jemaah haji negara masih terkandas berikutan masalah kelewatan pengeluaran visa Arab Saudi.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata masalah itu berpunca daripada sistem permohonan visa Arab Saudi, yang kini hanya boleh dimohon menerusi dalam talian.

    Katanya, ia berikutan penambahan jumlah jemaah haji di seluruh dunia yang membuat permohonan serentak menyebabkan sistem memproses visa itu tergendala.

    "Tabung Haji (TH) komited untuk menyelesaikan masalah ini dan kita sudah berbincang dengan Kedutaan Arab Saudi mengenai perkara ini.

    "Kedutaan (Arab Saudi) menyatakan mereka sudah menambah jumlah kakitangan untuk menguruskan sistem itu bagi memudahkan urusan yang tergendala.

    "Pada masa sama, TH menyediakan penginapan dan makanan kepada jemaah terbabit.

    "Kita yakin perkara ini boleh diselesaikan sebelum 26 Ogos iaitu tarikh penerbangan terakhir ke negara berkenaan," katanya ketika sesi pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Idris Ahmad (PAS-Bukit Gantang), yang bertanya langkah kerajaan dalam menyelesaikan masalah jemaah haji yang masih terkandas di negara ini.-Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Masalah Visa, 67 Jemaah Haji Malaysia Terkandas "