• 'Masa Untuk Pusingan U'

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Najib Razak meminta penduduk Permatang Pauh membuat pusingan U pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

    Perdana Menteri berkata, Permatang Pauh pernah menikmati pembangunan pesat dan menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan UMNO satu ketika dahulu, namun keadaan sudah berubah ketika ini.

    "Rekod menunjukkan UMNO hanya terlepas Permatang Pauh pada 1978 sebelum berlaku perubahan politik pada 1999.

    "Namun, kita tidak pernah memutuskan pertolongan kepada penduduk Permatang Pauh, malah BN masih meneruskan bantuan demi rakyat," katanya pada Majlis Kenduri Pemimpin Bersama Rakyat di Politeknik Seberang Perai di sini, tengah hari tadi.

    Najib berkata, perjuangan reformasi lenyap selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dilantik sebagai pengerusi pakatan pembangkang.

    "Jika dia boleh membuat pusingan U dan diterima pihak pembangkang, maka penduduk Permatang Pauh juga perlu buat pusingan U pada pilihan raya akan datang.

    "Permatang Pauh agak ketinggalan dan hanya perubahan mampu memastikan nasib penduduk dapat terus dibela," katanya.

    Pada majlis itu juga, Najib mengumumkan peruntukan RM45 juta bagi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Seberang Perai Tengah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " 'Masa Untuk Pusingan U' "