• Manfaatkan SSPN, Elak Anak Terlalu Bergantung Dengan PTPTN

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    Ibubapa digalakkan untuk membuat tabungan pendidikan kepada anak mereka sejak dari kecil dengan Skim Simpanan Pinjaman Nasional (SSPN)

    Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Idris Jusoh berkata, orang ramai terutamanya golongan ibu bapa digalakkan memanfaatkan sepenuhnya keistimewaan SSPN bagi mengelakkan masa hadapan pendidikan anak mereka terlalu bergantung dengan bantuan pinjaman pendidikan.

    Katanya, amalan tabungan awal pendidikan anak dapat membantu anak mereka tidak terlalu bergantung dengan bantuan pinjaman seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekaligus mengelakkan amalan berhutang.

    “Setakat ini sambutan orang ramai terhadap SSPN amat menggalakkan.

    “Orang ramai digalakkan menyimpan wang untuk masa hadapan anak mereka dengan SSPN, sekaligus dapat menghindar amalan keberhutangan,” jelas Idris pada sesi pertanyaan menteri di Sidang Dewan Rakyat, pada Selasa.

    Idris yang juga Ahli Parlimen Besut berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang bertanya adakah kerajaan mewujudkan mekanisma untuk pelajar mengurangkan kebergantungan dengan PTPTN pada masa hadapan.

    Menurut Idris lagi, pelbagai keistimewaan dapat dinikmati jika orang ramai membuat tabungan pendidikan di SSPN.

    “SSPN memberi dividen yang tinggi dan kompetitif iaitu antara 3 ke 4 peratus setahun berbanding dengan bank yang hanya 1 peratus.

    “Penyimpan di SSPN juga dapat pelepasan cukai pendapatan dan kalau bernasib baik boleh mendapat hadiah seperti kereta BMW dalam cabutan bertuah yang diadakan setiap tahun,” ujarnya.

    Setakat Julai 2016, Idris menjelaskan, lebih 3 juta akaun telah dibuka di SSPN dengan jumlah deposit RM2.8 bilion.

    Sementara itu dalam menjawab soalan asal dari Noor Azmi, Idris menjelaskan seramai 284,210 peminjam yang disenarai hitam oleh PTPTN telah berjaya membayar keseluruhan hutang mereka sejak pendekatan ‘boleh bincang’ digunakan oleh PTPTN.

    “Ini adalah hasil pendekatan yang telah dilancarkan oleh PTPTN sejak tahun lalu sehingga ada diwujudkan hastag boleh bincang.

    “Mereka yang disenarai hitam telah datang berbincang dengan PTPTN untuk mencari jalan menyelesai hutang pinjaman,” jelas Idris. - BNBCC

    Subjects:

  • No Comment to " Manfaatkan SSPN, Elak Anak Terlalu Bergantung Dengan PTPTN "