• Mana Pembangkang Mahu Cari RM41 Bilion Jika Mansuh GST?

    Published: Thursday, 10 August 2017
    A- A+

    Isu ekonomi merupakan isu terpenting yang mampu mempengaruhi undi rakyat untuk memihak kepada siapa dalam pilihan raya umum. Isu ini terkait dengan kos hidup rakyat dan bagaimana rakyat mahu mendapat kehidupan yang lebih sejahtera. Hal-hal ekonomi sering menjadi sasaran utama parti politik pembangkang untuk menyerang Kerajaan. Dasar ekonomi kini disifatkan tidak sepadan dengan kemajuan yang sewajarnya lebih banyak dikecapi negara.

    Umum mengetahui dalam sistem ekonomi kapitalis yang kian kompleks, dasar ekonomi sesebuah negara turut terkait dengan faktor luaran yang memainkan peranan besar. Misalnya walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, namun ketidaktentuan pada pasaran harga minyak dunia telah menjejaskan pendapatan negara memandangkan hasil bumi itu menjadi hasil ekonomi utama negara.

    Malaysia di bawah pentadbiran YAB Perdana Menteri sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk menggandakan hasil ekonomi negara di samping mempelbagaikan sumbangan sektor-sektor ekonomi lain agar Malaysia tidak semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas. Disebabkan paras harga minyak dunia yang merosot dan keadaan ini menjejaskan pendapatan negara, maka Kerajaan telah memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan atau GST untuk menutup kelompongan ini.

    Pengenalan cukai ini juga melihatkan Malaysia berjaya membentuk struktur percukaian lebih sistematik dan teratur di samping memastikan kutipan cukai yang lebih telus di samping mengelak ketirisan yang berlaku. GST diakui sebagai sistem percukaian yang mendatangkan manfaat besar kepada rakyat dan negara. Dengan kadar 6 peratus, di antara yang terendah di dunia Malaysia berjaya mengutip hasil GST pada tahun lalu berjumlah RM41 bilion.

    Walaupun pada ketika ini, penerimaan rakyat terhadap GST masih belum meluas, ditambah dengan sentimen dan kempen negatif pembangkang, namun berdasarkan kepada pandangan semasa terhadap senario di seluruh dunia, semua 160 buah negara yang telah melaksanakan GST tidak membatalkan pelaksanaan cukai berkenaan, walaupun negara berkenaan mengalami pertukaran kepimpinan dan Kerajaan yang memerintah tewas dalam pilihan raya. Ini memberi maksud bahawa GST terbukti mempunyai manfaat jangka panjang dan akan membantu negara untuk bertumbuh dengan lebih cepat di samping mengukuhkan keupayaan ekonomi rakyat.

    Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini mengeluarkan janji baru apabila mencadangkan untuk menghapuskan GST dalam tempoh seratus hari jika menang dalam pilihan raya umum akan datang. Lebih malang pendekatan PH ini satu pendekatan populis yang tidak bersandarkan kepada fakta dan senario ekonomi semasa serta jangka masa panjang. Bagaimana pembangkang mahu mendapatkan semula RM41 bilion melalui kutipan GST dengan semata-mata bergantung kepada hasil minyak dan gas yang terus tidak stabil.

    Jelas sekali pihak pembangkang tidak mempunyai sebarang perancangan rapi terhadap pengurusan kewangan negara, sebaliknya relah mengambil pendekatan populis demi meraih undi yang seterusnya bakal menghancurkan ekonomi negara.

    Melalui kutipan GST kini pelbagai projek pembangunan khas untuk rakyat giat dijalankan dan walaupun kesan positif daripada GST belum dinikmati secara total, namun sudah pasti di peringkat jangka panjang GST akan menjadi punca pendapatan yang memberikan kelegaan kepada seluruh masyarakat.

    Perlu disedari bahawa sistem percukaian GST di Malaysia mendapat pujian Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Untuk itu, langkah Malaysia dalam melaksanakan GST ini bukan langkah bersendirian, tetapi langkah penting yang mencorak kemampuan ekonomi negara untuk bersaing dengan lebih pesat di peringkat global.

    Sehubungan itu, jangan kita terperangkap dengan strategi jangka pendek pembangkang yang hanya melihat pemansuhan GST sebagai alat kempen semata-mata, namun kita harus buka mata dan lihat cabaran ekonomi sekeliling yang kian rencam dan mencabar di samping menuntut keputusan ekonomi yang berani dan tidak hanya sedap didengar sahaja. - MalaysianAccess

    Subjects:

  • No Comment to " Mana Pembangkang Mahu Cari RM41 Bilion Jika Mansuh GST? "