• Malaysia Tidak Mudah Keluarkan Kad Pelarian Kepada Etnik Rohingya

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    BAGAN DATUK : Malaysia tidak akan mengeluarkan kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) kepada warga Rohingya di negara ini sewenang-wenangnya, tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pendirian itu dibuat untuk mengelak Malaysia dan rakyat negara ini terbeban dengan kebanjiran pelarian etnik Rohingya berikutan pergolakan etnik di Myanmar.

    Katanya pendirian untuk tidak memberikan kad pelarian kepada etnik berkenaan dengan mudah turut mendapat kerjasama daripada pihak UNHCR sendiri.

    "Keutamaan kita adalah rakyat kita dan kebajikan kepada rakyat kita. Bukan kita tidak ada perasaan kemanusiaan kepada pelarian-pelarian ini Tetapi saya fikir masyarakat antarabangsa harus terus mengambil kepedulian terhadap nasib mereka juga," katanya.

    Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1438H kawasan Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

    Dalam pada itu, timbalan perdana menteri meminta Kaunselor Myanmar Aung San Su Kyii membersihkan imej negara itu yang tercalar akibat pergolakan di Rakhine.

    Katanya masyarakat antarabangsa telah berkali-kali memberikan amaran kepada Yangon supaya menyelesaikan isu kemanusiaan tersebut, namun sehingga hari ini ia masih gagal diatasi.

    Saya harap perkara ini ditangani dengan serius. Jangan ada double standard kerana perbezaan agama, jangan menjadikan isu kemanusiaan ini isu agama dan politik.

    "Ia harus diselesaikan dan dimuktamadkan sebab Malaysia tidak mahu menjadi negara penerima kerana apabila berlaku permasalahan di sana, ia akan mengundang kebanjiran orang Rohingya (ke Malaysia),\" katanya. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Tidak Mudah Keluarkan Kad Pelarian Kepada Etnik Rohingya "