• Malaysia Pintas Indonesia, Kutip Empat Pingat Emas

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+
    Atlet Malaysia Lee Yhing Huey membuat persembahan mengagumkan dalam acara Renang Berirama Individu pada perlawanan akhir Sukan SEA KL2017 di Pusat Akuatik Kebangsaan, Bukit Jalil. — Foto Bernama

    Kuala Lumpur : Malaysia memintas Indonesia dalam kutipan pingat, apabila memperoleh tiga emas semalam menerusi memanah dan renang berirama, menjadikan kutipan pingat keseluruhan kepada empat emas menjelang pembukaan rasmi Sukan SEA 2017, Sabtu ini.

    Pasukan memanah bangkit untuk meraih gelaran juara compound lelaki dan wanita bagi menebus kembali kekecewaan semalam.

    Tuan rumah kini adalah pasukan yang mendapat perhatian dalam acara terakhir compound esok apabila mereka mempertahankan gelaran juara pasukan campuran yang dimenangi Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Mohd Juwaidi Mazuki di Singapura.

    Kedua-dua mereka akan kembali berpasangan dalam cara pasukan campuran yang mana mereka akan memulakan panahan suku akhir menentang pemanah Singapura Ang Han Teng dan Madeleine Ong Xue Li Gan Hua Wei, 18, pula menjadi pemilik emas ketiga hari ini dalam acara renang berirama rutin teknikal solo mengatasi tentangan sengit daripada perenang Singapura yang meraih perak dan gangsa.

    Rakan sepasukan, Zylane Lee Yhing Huey memperoleh perak dalam renang berirama solo di belakang Singapura sementara pasukan chinlone negara juga meraih satu pingat perak dan gangsa hari ini daripada acara non-repetition primary dan non-repetition secondary selepas memperoleh pingat emas pertama semalam menerusi acara linking.

    Laos memfailkan bantahan di atas kekalahan 148-149 kepada Myanmar untuk emas dalam acara non-repetition secondary tetapi ditolak, memberikan Myanmar emas kedua mereka daripada acara chinlone yang berakhir semalam.

    Fatin merasa sungguh lega dengan Malaysia mengatasi Vietnam dalam pertarungan yang mendebarkan dan berakhir dengan beliau dan rakan sepasukan Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong menewaskan Vietnam 253-252 untuk mempertahankan emas. Mereka menumpaskan Thailand 227-219 dalam separuh akhir.

    “Saya hanya fikir apa yang diberitahu jurulatih kepada kami dan sokongan daripada rakan sepasukan,” kata Fatin yang berjanji untuk menebus kembali kekecewaan hanya mendapat gangsa dalam usahanya mempertahankan emas dalam acara individu wanita semalam.

    Dalam acara lelaki, Malaysia menurunkan trio sama yang memenangi emas dalam Sukan SEA Singapura terdiri daripada Mohd Juwaidi Mazuki, Ruslan Zulfadhli dan Lee Kin Lip mengalahkan Singapura 228-222.

    Mohd Juwaidi yang terlepas pingat emas dengan hanya satu mata semalam, berkata pasukannya merasa sedikit gementar dalam suasana tegang semasa pertandingan di arena Padang Sintetik, Bukit Jalil. Sebelum itu, Malaysia menewaskan Laos dalam suku akhir dan Vietnam pada separuh akhir.

    Dengan masing-masing dua emas, Indonesia dan Myanmar mengekori di belakang Malaysia dalam pungutan keseluruhan pingat sementara Thailand dan Singapura masing-masing memperoleh emas pertama mereka.

    Hari ini empat lagi acara dipertandingkan. Selain daripada acara memanah pasukan campuran akhir, renang berirama teknikal duet dan 10km renang perairan terbuka lelaki dan wanita akan berlangsung.

    Zylane, perenang paling berpengalaman dalam skuad negara akan bergandingan dengan Gan dalam renang berirama teknikal duet. Di SIngapura, Zylane dan Katrina Ann Abdul Hadi yang kini bersara memenangi emas dalam acara gabungan rutin teknikal duet dan bebas, yang dipertandingkan sebagai acara berasingan di sini.

    Acara 10km renang perairan terbuka bakal menyaksikan kembali aksi perenang negara Heidi Gan yang merupakan juara dalam acara itu yang kali terakhir dipertandingkan dalam Sukan SEA 2011 di Indonesia.

    Gan yang mewakili negara dalam Sukan Olimpik sebanyak dua kali dan berpangkalan di Australia mendapat lonjakan semangat daripada kemenangannya dalam acara 10km Renang Perairan Terbuka Asia di venue yang sama di Putrajaya, Mei tahun ini. — Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Pintas Indonesia, Kutip Empat Pingat Emas "