• Malaysia Pantau Isu Jerebu Menjelang KL2017

    Published: Tuesday, 8 August 2017
    A- A+

    SUBANG: Tiada kebimbangan membabitkan ancaman jerebu ketika ini tetapi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa melakukan pemantauan jika ia berisiko merencatkan kelancaran temasya Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur (KL2017).

    Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan pihak bertanggungjawab iaitu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) mengenai situasi berkenaan.

    "NRE sedang memantau situasi ini dan sekali pun ia bukan di bawah portfolio kementerian saya, saya sudah mengadakan perbincangan dengan menterinya, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai situasi ini pada minggu lalu," kata Khairy.

    "Daripada segi penguatkuasaan dari negara punca jerebu, kita lihat ada banyak peningkatan berbanding tahun sebelum ini. Jika kita lihat gambar satelit mengenai titik panas, banyak yang dapat dibendung dalam tempoh 24 jam.

    "Saya harap pihak Indonesia dapat membendung perkara ini supaya tidak memberi kesan. Saya agak mereka juga rasa jika ia akan jejaskan Sukan SEA, ia akan memalukan mereka kerana mereka juga bertanding di sini."

    Mengulas lanjut, Khairy berkata Malaysia tidak menawarkan bantuan kepada Indonesia untuk menangani situasi berkenaan kerana negara itu sentiasa menolak bantuan yang ingin diberikan.

    Media semalam melaporkan, pihak berkuasa Indonesia terutama di lima wilayah yang terjejas teruk akibat jerebu terpaksa mengeluarkan arahan untuk menembak individu yang didapati sengaja melakukan pembakaran hutan.

    Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) melaporkan, lima wilayah berkenaan terpaksa mengisytiharkan darurat berikutan kebakaran hutan yang semakin berleluasa dan peningkatan jumlah titik panas sejak seminggu lalu.

    Edisi ke-29 Sukan SEA dijadualkan bermula pada 19 Ogos ini dan menutup tirainya pada 30 Ogos. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Malaysia Pantau Isu Jerebu Menjelang KL2017 "