• Majoriti Bangga Jadi Rakyat Malaysia

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Satu kaji selidik yang dilakukan terhadap orang ramai menjelang sambutan Hari Kebangsaan 2017 mendapati majoriti besar bangga menjadi rakyat Malaysia.

    Dalam kajian yang dijalankan oleh KAJIDATA yang berkepakaran dalam penyelidikan komersial dan sosial, 98.3 peratus daripada 1,041 pengundi berdaftar di seluruh negara mengatakan “Saya bangga menjadi rakyat Malaysia”, peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding kaji selidik tahun lepas.

    Penasihat KAJIDATA Prof Datuk Seri Syed Arabi Idid memberitahu Bernama, kaji selidik sama yang dijalankan dari 10 hingga 18 Julai lepas itu juga mendapati terdapat semangat patriotik yang kuat dalam kalangan rakyat Malaysia dengan 80.2 peratus meraikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun, tarikh yang mereka anggap sangat bermakna dan bertuah buat mereka.

    Syed Arabi, bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata kaji selidik itu turut mendapati rakyat Malaysia sedar bahawa perpaduan adalah antara aspek pembangunan negara yang penting.

    Selain itu, seramai 85.9 peratus responden mengatakan Rukun Negara boleh menjadi prinsip panduan dalam menggalakkan dan memupuk perpaduan.

    Hampir 80 peratus responden menyatakan mereka tidak akan berhijrah ke negara lain tanpa mengira keadaan semasa di negara ini, satu lagi bukti semangat patriotisme mereka.

    Dalam kaji selidik yang dilakukan menerusi tinjauan telefon itu, hanya 12.2 peratus menyatakan keinginan untuk berhijrah.

    KAJIDATA (www.kajidata.com) yang ditubuhkan pada 2015, mempunyai misi untuk memperoleh dan melihat menjangkaui data dan merungkai maklumat tersurat dan tersirat. Responden dipilih berdasarkan persampelan bersiri secara rawak mengikut etnik, jantina, umur, negeri dan demografi bagi menggambarkan pendapat orang awam mengenai isu semasa dengan ketepatan yang lebih tinggi. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Majoriti Bangga Jadi Rakyat Malaysia "