• Lelaki Nekad Kelar Lidah Sendiri

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    LELAKI cedera kerana mengelar lidahnya sendiri sebelum cuba membunuh diri dengan terjun dari bilik sewanya di tingkat 2 bangunan Plaza Utama Alam Mesra, Manggatal, Kota Kinabalu, kira-kira jam 11 malam semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam bahawa seorang lelaki berusia 22 tahun mencederakan dirinya sebelum cuba membunuh diri.

    "Siasatan awal mendapati, mangsa mencederakan dirinya menggunakan pisau pemotong sayur dan cuba terjun dari bilik sewa tempat tinggal di tingkat dua bangunan itu.

    "Sebelum kejadian, mangsa dilihat dalam keadaan resah dan kurang waras yang dipercayai berpunca akibat tekanan perasaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Chandra berkata, hasil siasatan lanjut mendapati punca mangsa berkelakuan begitu kerana mendapat tekanan daripada keluarga terutamanya ayah dan ibunya yang sering menyalahkannya tidak bertanggungjawab.

    “Ketika kejadian, sepupunya yang berada di lokasi sempat menyelamatkan mangsa daripada membunuh diri.

    "Sebelum ini, sepupunya memberitahu mangsa tidak pernah berkelakuan pelik dan mereka tinggal bersama sejak lapan bulan lalu," katanya.

    Chandra berkata lagi, mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh anggota polis dan sepupunya untuk mendapatkan rawatan.

    "Mangsa menerima tujuh jahitan di bahagian lidah kerana luka akibat dikelar dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

    "Kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri," katanya.-HMetroOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Nekad Kelar Lidah Sendiri "