• Lelaki Didenda RM3,500 Kerana Jual Unit Komunikasi Tanpa Perakuan Sirim

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+


    Kuching ;  Seorang lelaki didenda RM3,500 atau penjara seminggu oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menjual seunit alat komunikasi tanpa wayar yang tidak diperakui oleh SIRIM empat tahun lalu.

    Wong Hon Wah, 37, dari Petaling Jaya, Selangor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Timothy Finlayson Joel.

    Wong dituduh menjual alat komunikasi tanpa wayar jenama PAKITE menerusi www.lelong.com pada 13 Nov 2013 menurut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

    Menurut fakta kes, Wong telah menjual alat berkenaan secara dalam talian kepada seorang pegawai SIRIM yang menyamar sebagai pembeli pada 13 Nov 2013 di SIRIM QAS International Sdn Bhd, Pejabat Cawangan Sarawak dan Sabah, Lot 802, Taman Perindustrian Demak Laut, Jalan Bako di sini.

    Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar dijatuhi hukuman ringan kerana ini kesalahan pertamanya selain tidak tahu bahawa menjual produk tanpa perakuan SIRIM tersebut adalah satu kesalahan.

    Sementara itu pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Nazrul Nizam Mohamad Zameri meminta mahkamah mengenakan hukuman yang berat sebagai pengajaran memandangkan menjual peralatan yang tidak diperakui keselamatannya oleh SIRIM boleh mengundang bahaya kepada pengguna.

    -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lelaki Didenda RM3,500 Kerana Jual Unit Komunikasi Tanpa Perakuan Sirim "