• Lawatan Najib Ke Washington Bimbangkan Kit Siang - Salleh

    Published: Wednesday, 30 August 2017
    A- A+
     

    KUALA LUMPUR: Penasihat DAP Lim Kit Siang bimbang lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat bulan depan akan membuktikan bahawa Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu sebenarnya tidak memburu perdana menteri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

    Beliau berkata surat Kit Siang kepada anggota Kabinet jelas menunjukkan beliau cuba mengalih perhatian daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia lebih 25 tahun lepas, yang memberi tamparan hebat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Salleh mengulas surat terbuka Kit Siang kepada anggota Kabinet semalam yang menggesa mereka supaya membatalkan lawatan kerja Najib ke Washington yang dijadulakan pada 12 Sept ini.

    "Surat terbuka Lim Kit Siang kepada semua anggota Kabinet itu mungkin tidak pelik jika ia dihantar seseorang yang baru melibatkan dalam politik, tetapi bukan daripada seseorang yang sudah berkecimpung lebih 50 tahun dalam bidang politik," kata Salleh dalam catatan di laman blognya sskeruak.blogspot.com, hari ini.

    Beliau berkata surat terbuka itu merupakan suatu percubaan aneh Kit Siang dan merupakan perbuatan yang bersifat amatur.

    "Kesimpulannya, Kit Siang cuba mengatakan bahawa perdana menteri tidak sepatutnya pergi ke AS untuk bertemu Presiden Donald Trump sehinggalah beliau bebas daripada semua tuduhan berkaitan 1MDB.

    "Apakah tuduhannya? AS tidak pernah membuat sebarang tuduhan terhadap Najib. Dr Mahathir yang membuat semua tuduhan itu," kata Salleh.

    Beliau juga berkata kenyataan pemimpin pembangkang itu tidak logik dan tidak masuk akal langsung serta tidak wajar dibuat oleh seseorang yang sepatutnya ahli politik veteran. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Lawatan Najib Ke Washington Bimbangkan Kit Siang - Salleh "