• Lalu Sekatan Bawa Lelaki Perut Terburai

    Published: Sunday, 20 August 2017
    A- A+

    Lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai ditemui dalam kereta yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Reko, Kajang, semalam.

    Dalam sekatan jalan raya pada 11.20 malam di selekoh Jalan Reko menghala ke Metro Kajang, pasukan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan Honda Accord kelabu yang dinaiki lima lelaki dalam keadaan mencurigakan.

    Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pemandu kereta terbabit cuba menyogok polis ketika pemeriksaan dilakukan.

    Menurutnya, curiga dengan gelagat pemandu itu, polis membuat pemeriksaan menyeluruh dan menemui seorang penumpang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan perut terburai.

    "Polis turut menemui sebilah parang yang disimpan dalam but kereta. Lelaki yang parah dibawa ke Hospital Kajang untuk rawatan, manakala empat yang lain ditahan dan dibawa ke IPD Kajang untuk tindakan lanjut," katanya.

    Dzaffir berkata, berdasarkan keterangan awal mangsa yang berusia 23 tahun, dia pergi ke PV20 Setapak, Kuala Lumpur untuk berjumpa seorang suspek kira-kira jam 11 malam.

    Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia mendakwa dikepung lapan hingga sembilan lelaki dan terus menyerangnya.

    "Suspek menetak mangsa menggunakan sebilah parang dan membawanya menaiki kereta ke arah Kajang bersama tiga lagi suspek.

    "Mangsa dirawat di Zon Merah, Unit Rawatan Rapi (ICU) Kajang dalam keadaan stabil," katanya.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, seorang suspek mengaku menikam mangsa di PV20, Setapak kerana cemburu.

    Dzaffir berkata, pemeriksaan mendapati keempat-empat suspek berusia 21 hingga 30 tahun, mempunyai rekod lampau dan semua diserahkan ke IPD Wangsa Maju untuk tindakan selanjutnya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Lalu Sekatan Bawa Lelaki Perut Terburai "