• Kubur 36 Mayat DItemui

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    KABUL: Polis menemui mayat sekurang-kurangnya 36 orang di dalam sebuah kubur besar dipercayai mangsa serangan militan di sebuah kampung, baru-baru ini, kata pihak berkuasa semalam.

    Satu kubur di wilayah Sar-e Pul, utara Afghanistan, mengandungi 28 mayat manakala satu lagi lapan, kata jurucakap kerajaan wilayah Zabihullah Amani.

    “Kebanyakan mangsa dipenggal. Semuanya lelaki dengan tiga kanak-kanak berusia antara lapan hingga 15 tahun,” katanya.

    Menurutnya, kubur besar ketiga turut dikesan tetapi berada di kawasan dikawal Taliban.

    Semalam, penduduk kampung mengadakan majlis pengebumian besar-besaran untuk mangsa terbabit.

    Sekurang-kurangnya 62 maut dalam serangan terhadap perkampungan Mirza Olang minggu lalu dan jumlah itu dijangka meningkat, kata pejabat gabenor Sar-e Pul.

    Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Afghanistan berkata, siasatan awal menunjukkan militan Taliban dan Daish - yang lazimnya bersaing - bekerjasama dalam serangan itu.

    Taliban bagaimanapun menafikan perkara itu, malah menegaskan tidak membunuh orang awam.

    Daish pada Isnin lalu mengeluarkan kenyataan mendakwa mengepalai serangan dan membunuh 54 Syiah.

    Penduduk kampung yang mendakwa melihat penyerang mengibarkan bendera putih Taliban dan bendera hitam Daish.-Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Kubur 36 Mayat DItemui "