• Kuartet 4x100 Negara Tidak Terjejas: Khairy

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Peluang kuartet 4x100 meter (m) wanita negara untuk melakar kejayaan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tidak terjejas biarpun dipalit kontroversi membabitkan seorang atlet acara itu, S Komalam Shally yang digugurkan kerana masalah disiplin.

    Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar percaya pengguguran Komalam dibuat mengikut saluran betul dengan sebab yang munasabah seperti yang dimaklumkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

    "Keputusan ini dibuat oleh pihak pengurusan olahraga sendiri yang memaklumkan kepada MSN dan MOM.

    "Ia (keputusan) dibuat mengikut saluran betul, jadi saya tidak mahu campur tangan kerana ia adalah keputusan pengurusan itu sendiri atas sebab-sebab tertentu.

    "Sebagai menteri, soalan pertama saya kepada pihak pengurusan adakah keputusan ini nanti akan menjejaskan peluang kuartet kita tetapi saya mendapat jawapan yang munasabah.

    "Malah, kita juga ada pengganti yang sesuai bagi mengambil tempat Komalam dan peluang kita tidak akan terjejas," kata Khairy ketika ditemui selepas pelancaran lagu tema KL2017 'Bangkit Bersama' di sini, hari ini.

    Pengurus pasukan olahraga negara ke Sukan SEA, Datuk Salim Parlan hari ini mengesahkan Komalam digugurkan daripada kuartet 4x100m wanita kerana masalah disiplin apabila didakwa cuba mengganggu keharmonian dalam pasukan.

    Komalam adalah atlet yang membarisi kuartet negara ketika memecahkan rekod kebangsaan dalam acara itu pada saingan Kejohanan Balapan dan Padang Asia di India, bulan lalu.

    Dia bersama Zaidatul Husniah Zulkifli, Siti Fatimah Mohamad serta Nurul Faizah Asma Mazlan memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 45.18 saat. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Kuartet 4x100 Negara Tidak Terjejas: Khairy "