• KR1M 2.0 Dijangka Dilancar 31 Ogos Ini

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+

    SHAH ALAM – Kerajaan dijangka melancarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 pada 31 Ogos ini, yang akan menawarkan barangan berkualiti, harga barangan lebih murah berbanding di pasaran dan bekalan barangan yang dijual sentiasa mencukupi.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata KR1M akan dikendalikan operator baharu setelah MRT Retail Sdn Bhd, anak syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd mengesahkan mereka tidak lagi terlibat sebagai pengendali rangkaian kedai itu.

    “Mydin telah disahkan menarik diri, jadi sudah tentu kita akan mencari operator yang baharu, perbincangan dengan beberapa syarikat lain yang berminat untuk menjadi pengendali KR1M kini sedang giat dijalankan dan berada di peringkat akhir.

    “KR1M 2.0 dijangkakan akan dapat dilancarkan pada Hari Kebangsaan nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Citarasa Malaysia di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

    Katanya KPDNKK akan memastikan tiada isu bekalan barangan terputus di kedai-kedai KR1M.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 29 Julai lepas mengarahkan supaya KPDNKK menamatkan segera kontrak syarikat mengendalikan KR1M yang menjual produk jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

    Ahmad Zahid dilaporkan berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan memberi peruntukan kepada syarikat berkenaan untuk memastikan barangan dijual dengan harga lebih murah.

    KR1M diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2011 bertujuan mengurangkan beban rakyat selain membantu memasarkan produk pengusaha Industri Kecil dan Sederhana tempatan. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KR1M 2.0 Dijangka Dilancar 31 Ogos Ini "