• Korea Utara Enggan Layan Rundingan

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    NEW YORK – Korea Utara tidak akan berbincang mengenai program senjata nuklearnya selagi dasar permusuhan dan ancaman nuklear Amerika Syarikat (AS), berterusan.

    Pendirian itu disuarakan oleh Timbalan Duta Korea Utara, Kim In Ryong, kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

    Dalam perbualan telefon Kim dengan Guterres, Kim berkata: “Selagi dasar permusuhan dan ancaman nuklear AS berterusan, Korea Utara tidak akan berbincang mengenai pertahanan nuklear atau berundur.”

    Guterres kelmarin berkata, sudah tiba masanya ‘mengurangkan retorik dan meningkatkan diplomasi’ mengenai Korea Utara.

    Beliau turut memaklumkan kepada Russia, Jepun, AS, China, Korea Utara dan Korea Selatan, kesediaannya menjadi orang tengah rundingan.

    Minggu lalu, Presiden Donald Trump memberi amaran kepada Korea Utara akan bertindak balas jika negara itu mengancam AS, memaksa Pyongyang merancang membedil peluru berpandu ke arah wilayah AS di Guam.

    Namun, media Korea Utara melaporkan, pemimpinnya, Kim Jong-Un, menangguhkan keputusan itu untuk melihat tindakan AS seterusnya. – REUTERS/BH ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Korea Utara Enggan Layan Rundingan "