• Korea Selatan Musnahkan Telur Tercemar Racun Serangga

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+


    SEJONG - Korea Selatan semalam mula memusnahkan semua telur tercemar dengan racun serangga berbahaya, dalam usaha untuk menghentikan kebimbangan rakyat terhadap keselamatan makanan, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

    "Pihak berkuasa akan mengesan semua telur tercemar dan menghapuskannya selain itu, semua maklumat mengenai langkah pemeriksaan kuarantin dipaparkan dalam laman web," kata Menteri Pertanian Kim Yung-rok.

    Kes pertama pengeluaran telur tercemar dikesan pada Selasa di tiga ladang tempatan disusuli telur dari enam ladang didapati mengandungi fipronil.

    Menurut Kementerian Pertanian, Makanan dan Luar Bandar, 26 ladang juga didapati tercemar dengan bifenthrin yang digunakan pada tanaman pertanian.

    Setakat ini 876 daripada 1,239 ladang berdaftar di seluruh negara telah diperiksa dan penjualan telur di kedai runcit dan pasaraya tempatan dihentikan sementara, bagi memastikan telur tercemar tidak sampai kepada pengguna.

    Sehingga semalam, sejumlah 844 ladang melepasi pemeriksaan dan dibenarkan meneruskan pengeluaran.

    Pengeluaran oleh 844 ladang mampu membekalkan 86.4 peratus bekalan iaitu merangkumi 43 juta telur untuk kegunaan penduduk setiap hari.

    Kementerian menambah, pengeluaran telur dijangka kembali ke paras normal hari ini.

    Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

    Pengambilan fibronil pada paras tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

    Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan kesan kronik dan karsinogenik pengambilan fipronil kepada manusia- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Korea Selatan Musnahkan Telur Tercemar Racun Serangga "