• Konvoi Jelajah Merdeka Ke-60 Selamat Tiba Di Bandaraya Miri

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+
     

    MIRI: Konvoi Jelajah Merdeka ke-60 Yamahaa E115M telah selamat tiba di Bandaraya Miri sekitar jam 7 petang semalam dengan jarak keseluruhan sejauh 417km.

    Menurut seorang peserta, George Marcella Bana berkata, perjalanan dari Sibu ke Miri semalam terpaksa meredah hujan yang lebat sehingga ke bandar Bintulu. 

    Menurutnya, antara cabaran paling getir ialah ketika melalui kawasan pembinaan lebuhraya Pan Borneo dimana lubang di permukaan jalan sukar dikenalpasti kerana air bertakung.

    "Pilihan kami hanyalah dengan menunggang perlahan dan penuh hati-hati bagi mengelak sebarang kemungkinan buruk berlaku," katanya.

    Sapawi Mustapa berkata, penggunaan bahan api bagi motosikal model ini menjimatkan, ia membolehkan konvoi meneruskan perjalanan di antara lokasi pengisian minyak tanpa ragu-ragu.

    Nurasiman Simon pula menjelaskan, perjalanan semalam turut memberi peluang kepada mereka untuk menguji kemampuan maksima enjin motosikal tersebut.

    "Ketika melalui jalan yang baik, kami berempat berjaya mencapai kelajuan maksima di antara 100 km/j hingga 110 km/j, bergantung kepada saiz penunggang dan berat," katanya.

    Beliau menambah, di kawasan Samalaju hinggga ke Jambatan Suai, pemukaan jalan yang beralun menguji kemahiran mengawal jentera namun sistem suspensi model tersebut tidak menghampakan.

    Sementara itu, mekanik konvoi Sekawi Jamaluddin Tony memberitahu bahawa setakat ini, tiada masalah teknikal yang serius berlaku terhadap semua motosikal yang digunakan.

    "Kami hanya berdepan dengan masalah-masalah kecil yang saya yakin berpunca dari gegaran yang terhasil akibat keadaan permukaan jalan," jelasnya.

    Hari ini, konvoi akan bergerak sejauh 406km menuju ke Keningau dan akan melalui Negara Brunei Darul Salam. - Sarawakiana


  • No Comment to " Konvoi Jelajah Merdeka Ke-60 Selamat Tiba Di Bandaraya Miri "