• Konvoi Jelajah Kemerdekaan Ke-60 Yamaha EM115 Tamat Di Kuching

    Published: Friday, 18 August 2017
    A- A+
    KUCHING: Pengembaraan sejauh 3,869km yang dilalui empat peserta Konvoi Jelajah Kemerdekaan Ke-60 Yamaha EM115 berakhir di depan Tugu Kuching, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) petang semalam.

    "Matlamat dan objektif konvoi telah dapat kami capai dengan jayanya," kata ketua konvoi, Nurasiman Simon.

    Menurutnya, perjalanan selama sebelas hari dengan cabaran pelbagai jenis permukaan jalan serta keadaan cuaca telah dapat menyangkal dakwaan buruk terhadap reputasi Yamaha EM115.

    "Yamaha EM115 merupakan sebuah model istimewa yang tahan lasak dan dapat diberikan kepercayaan tinggi oleh sesiapa sahaja," tambahnya.

    George Marcella Bana yang menjadi jurufoto dan juruvideo sepanjang konvoi berkata, keadaan permukaan jalan dan cuaca menjadi cabaran paling besar dalam konvoi tersebut.

    "Dengan saiz dan berat badan saya, model ini tidak memberikan sebarang rungutan di sepanjang perjalanan," jelasnya.

    Beliau mengakui memang ada berlaku sedikit kerosakan kecil namun ia disebabkan permukaan jalan serta faktor keadaan cuaca yang memaksa konvoi menempuh hujan lebat yang berlaku di beberapa kawasan.

    Menurut Safawi Mustafa yang bertugas sebagai penjaga masa pula memberitahu, sistem suspensi dan brek sentiasa berada dalam keadaan cemerlang di sepanjang perjalanan walaupun keadaaan cuaca berubah-ubah.

    "Keyakinan menunggang sentiasa berada di tahap yang tinggi kerana gandingan suspensi yang mantap serta brek yang bagus memudahkan perjalanan kami terutama sekali ketika mendaki dan menuruni kawasan berbukit dan jalan rosak," ujarnya.

    Ketua mekanik konvoi, Sekawi Tony Jamaluddin menyatakan model EM115 merupakan sebuah model  yang tahan lasak dan mudah dijaga.

    "Sepanjang perjalanan konvoi, kami sempat melakukan beberapa siri ujian ketahanan dengan memecut pada kelajuan maksima.

    "Tiada sebarang masalah mekanikal timbul selepas enjin dipaksa bekerja pada keadaan maksima, tidak terdapat sebarang penurunan kuasa mahupun masalah lain," tegasnya.

    Sekawi menambah, jika ada pun masalah kecil yang timbul hanya datang ketika melalui kawasan jalan yang rosak akibat projek pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

    Pengurus Tay Motors, Aaron Tay memberitahu media, konvoi tersebut berjaya mencapai matlamat untuk membersihkan persepsi negatif terhadap model tersebut. 

    "Maklum balas yang kita perolehi daripada konvoi ini pasti akan dapat meningkatkan imej Yamaha EM115 di mata pembeli," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " Konvoi Jelajah Kemerdekaan Ke-60 Yamaha EM115 Tamat Di Kuching "