• Kondo Hampir Terbakar Hanya Kerana Gulai

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    KOTA BHARU: Memanaskan gulai, namun terlupa memadamkan api dapur menyebabkan sebuah unit di Kondominium Permai, di sini, nyaris terbakar, sekali gus membahayakan lebih 100 penduduk di bangunan itu.

    Kejadian jam 2 petang itu bagaimanapun menyebabkan ruang dapur rumah penduduk dikenali Choo, 49, terjejas.

    Choo berkata, dia ada memanaskan gulai sebelum keluar mengambil anak perempuannya berusia 15 tahun di sekolah menengah di Jalan Atas Banggol, di sini, namun dia tidak pasti sama ada sudah memadamkan api dapur.

    “Saya terkejut apabila pulang dan mendapati bomba memenuhi kawasan kondominium dan penduduk berkumpul di bawah rumah.

    “Lebih terkejut apabila rumah saya yang terbabit. Nasib baik hanya kebakaran kecil di dapur,” katanya.

    Dia yang enam tahun menghuni di situ akan lebih berhati-hati selepas ini.

    Dalam pada itu, asap tebal yang memenuhi aras 10 dan 11 kondominium 13 tingkat itu menyebabkan penduduk gempar dan bergegas turun selepas mendengar bunyi loceng penggera kebakaran.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Darulnaim Penolong Penguasa Bomba Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.16 petang sebelum lima anggota ke tempat kejadian.

    “Ketika tiba, aras yang terjejas dipenuhi asap tebal dan api dapat dikawal daripada merebak dalam tempoh 10 minit.

    “Kami mengarahkan semua penduduk keluar bagi memastikan tiada penghuni terjejas,” katanya.

    Beliau berkata, jumlah kerugian masih dalam siasatan. Sebelum ini, kejadian sama pernah berlaku di aras lapan kondominium itu pada 2008.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Kondo Hampir Terbakar Hanya Kerana Gulai "