• KL2017: Suar Antara Barang Larangan Ke Venue

    Published: Wednesday, 16 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Polis akan memperketatkan kawalan di venue Sukan SEA bagi memastikan tiada barang larangan seperti suar dibawa masuk.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya menjamin keselamatan sepanjang berlangsungnya temasya Sukan SEA ke-29.

    Perasmian Sukan SEA akan disempurnakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

    Khalid berkata, orang ramai terutama pelancong tidak perlu gusar mengenai aspek keselamatan kerana anggota polis mencukupi bagi melakukan pemantauan sepanjang temasya itu berlangsung.

    “Kepada mereka yang hendak hadir upacara pembukaan saya nasihatkan supaya masuk ke stadium lebih awal dan pastikan tidak membawa apa-apa juga barang larangan.

    “Kita akan letak papan tanda. Suar adalah tidak dibenarkan sama sekali dibawa masuk. Tindakan akan diambil kepada sesiapa yang cuba seludup (suar),” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Mes Pegawai Bukit Aman, hari ini.

    Pada majlis itu, Pengarah JSJN, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Sharif menyerahkan jawatannya kepada Datuk Kang Chez Chiang selaku pemangku.

    Tambah Khalid, pihaknya juga sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan ancaman yang berlaku dan akan menambah bilangan anggota sekiranya perlu.

    Sukan SEA ke-29 berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini manakala, Sukan Para ASEAN bermula 17 hingga 23 September. – BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Suar Antara Barang Larangan Ke Venue "