• KL2017: Malaysia Bangkit Daripada Ketinggalan Tewaskan Singapura 2-1

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Malaysia menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol dan menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi kedua Kumpulan A saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), malam tadi.

    Pemain gantian, N. Thanabalan muncul wira skuad negara apabila menjaringkan gol kemenangan Malaysia pada minit ke-74 sekali gus menceriakan kira-kira 32,000 penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam, di sini.

    Singapura yang tewas 0-2 kepada Myanmar dalam aksi pembukaan Isnin lepas bagaimanapun terlebih dahulu di hadapan pada minit ke-38 menerusi jaringan memukau Muhammad Amiruldin Muhammad Nodin dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli.

    Skuad negara yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee hampir menyamakan kedudukan di masa kecederaan separuh masa pertama, namun sepakan percuma Muhammad Safawi Rasid sekadar menggegar palang gol untuk menjadikan kedudukan 0-1 kekal sehingga rehat.

    Bersambung babak kedua, kemasukan Muhamad Nor Azam Abdul Azih dan N. Thanabalan ternyata memberi nafas baharu kepada jentera tengah negara yang menjelmakan corak permainan lebih agresif bagi memburu gol penyamaan.

    Malaysia akhirnya berjaya menarik nafas lega pada minit ke-68 apabila Nor Azam menjaringkan gol pertama negara selepas memperdaya dua pertahanan Singapura sebelum melepaskan rembatan deras untuk mengikat kedudukan 1-1.

    Berselang enam minit kemudian, asakan berterusan skuad negara berjaya membuahkan hasil apabila Thanabalan bijak menghidu kesilapan pertahanan Singapura untuk menolak masuk bola ke dalam gawang untuk memastikan Malaysia mengutip tiga mata penuh.

    Dengan kemenangan malam ini, Malaysia kini menduduki tangga kedua berkongsi enam mata bersama Myanmar yang turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas Laos dalam satu lagi aksi kumpulan yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini malam ini.

    Selepas ini, Malaysia akan bertemu Myanmar pada 21 Ogos sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Laos pada 23 Ogos.

    Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Kim Swee memuji persembahan anak buahnya malam ini yang bangkit biarpun ketinggaln 0-1 pada separuh masa pertama dan berkata kemasukan Nor Azam dan Thanabalan di pertengahan separuh masa kedua, membawa perubahan besar kepada pasukan.

    "Kemasukan dua pemain gantian itu membawa perubahan ketara kepada pasukan setelah kami gagal mendapatkan rentak perlawanan pada separuh masa pertama dan aksi kami bertambah baik pada babak kedua," katanya.

    Bagi Kim Swee, adalah lebih baik untuk mendapatkan gol di awal permainan dan anak buahnya perlu mengelakkan daripada masalah ini daripada berlaku pada perlawanan seterusnya.

    Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata beliau memasukkan kedua pemain gantian itu pada babak kedua kerana Azam kerap bermain untuk Pahang dan Thanabalan baharu sahaja pulih daripada kecederaan buku lali.

    "Justeru, saya tidak boleh mengambil risiko memasukkan kedua-dua pemain pada separuh masa pertama tetapi saya gembira kami akhirnya mendapat keputusan yang bagus," kata Kim Swee sambil memuji penyokong tegar skuad negara, Ultras Malaya dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang turun memberi sokongan padu sepanjang perlawanan.

    Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Bawah 22 tahun Singapura, Richard Tardy berkata pada babak kedua anak buahnya gagal menahan serangan bertali-arus penyerang Malaysia sehingga mereka mudah melakukan kesilapan dan mengakibatkan tuan rumah menghasilkan dua gol yang cantik dalam jarak masa enam minit. .

    "Selepas kekalahan ini, kami perlu menang dua perlawanan seterusnya menentang Brunei dan Laos untuk menghidupkan peluang layak ke pusingan kalah mati tetapi saya hairan dengan jadual perlawanan yang mana pemain saya hanya berehat satu hari sebelum bermain untuk perlawanan seterusnya dan ini membuatkan mereka letih, kata warga Perancis itu. - BERNAMA

    Foto Asyraf Hamzah

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Malaysia Bangkit Daripada Ketinggalan Tewaskan Singapura 2-1 "