• KL2017: Kim Swee Ada Strategi Perangkap Thailand

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    PETALING JAYA: "Tak guna kita bermain cantik tapi tak menang. Dalam perlawanan akhir ini keputusan adalah lebih penting," kata jurulatih Datuk Ong Kim Swee yang sudah mempunyai strategi tersendiri untuk memerangkap Thailand pada aksi final untuk merebut ibu segala pingat di Stadium Shah Alam, esok.

    Ini final kelima Malaysia dengan Thailand sejak 1959 dengan rekod memihak kepada juara bertahan itu menerusi tiga kemenangan (1975, 1981 dan 2001) dan tewas sekali (1977).

    Ketika skuad muda negara dibimbing Frank Bernhardt, mereka tewas 1-2 kepada Thailand di final Piala Negara-Negara 2016 dan 0-4 di Piala Dubai 2017.

    Malah badi itu berterusan selepas Kim Swee mengambil alih apabila kecundang 0-3 pada kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok bulan lalu.

    Namun pengendali kelahiran Melaka itu percaya pertembungan di final bakal menyaksikan aksi berbeza anak buahnya selepas mencatat rekod empat kemenangan berturut-turut ke atas Brunei, Singapura, Myanmar dan Laos untuk muncul juara Kumpulan A.

    Biarpun ada pihak mengkritik permainan skuad negara ketika menewaskan Indonesia 1-0 di separuh akhir berbanding peringkat kumpulan, Kim Swee ternyata mahu mengutamakan taktik yang berkesan bagi mencapai kemenangan daripada memikirkan permainan cantik.

    "Memang saya akui permainan Malaysia ketika berdepan Indonesia agak menurun dan kita tidak mempamerkan permainan sebenar. Tapi adalah lebih mustahak untuk kita mendapat keputusan," katanya yang bakal membimbing pasukan di final kedua selepas muncul juara pada 2011 di Jakarta.

    Kim Swee, 46, menegaskan tiada pasukan pilihan dalam perlawanan akhir dan beliau mahu anak buahnya menyerap semangat kemerdekaan negara yang akan disambut pada 31 Ogos ini.

    "Di atas kertas saya akui Thailand pasukan yang baik tapi pada final, tiada pasukan pilihan, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang. Kita bermain di tempat sendiri sudah pasti kita mahu menamatkan perlawanan dengan kegembiraan," katanya.

    Kim Swee yang tidak pernah beraksi di Sukan SEA ketika bergelar pemain tiada masalah menurunkan skuad terbaik apabila semua pemain bebas daripada kecederaan dan penggantungan kecuali penyerang S Kumaahran yang mengalami kecederaan lutut.

    Malaysia tewas 0-1 kepada Thailand pada pertemuan terakhir final di Stadium Shah Alam 2001 menerusi jaringan Sarawut Treephan pada minit ke-87. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Kim Swee Ada Strategi Perangkap Thailand "