• KL2017: Kami Sedia Pertahan Emas - Chaowat

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+


    PETALING JAYA: Keghairahan untuk beraksi di pentas final acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bertemu Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok nyata sukar dibendung apabila pemain Thailand melaungkan keyakinan bersedia mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Singapura dua tahun lalu.

    Pemain tengah Thailand, Chaowat Veerachart, berkata rata-rata rakan sepasukannya sudah tidak sabar menantikan pertembungan final itu yang dijangka berlangsung sengit.

    "Semua pemain dah tak sabar nak bermain untuk pada aksi terakhir kami dalam kempen Sukan SEA ini.

    "Masing-masing memiliki peluang untuk muncul pemenang, namun kami sudah bersedia menghadapi aksi itu dan yakin kemenangan mampu menjadi milik kami," katanya pada sidang media pra-perlawanan di sini, hari ini.

    Thailand yang hadir dengan status selaku juara bertahan, diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk mempertahankan ibu segala pingat itu.

    Malah, rekod pertemuan terakhir juga jelas memihak skuad kendalian Worrawoot Srimaka apabila melakar tiga kemenangan dalam tiga pertembungan sebelum ini.

    "Kami sedar akan kelebihan Malaysia selaku pasukan tuan rumah yang akan mendapat sokongan padu penyokong mereka.

    "Saya percaya pemain lawan yang diturunkan akan beri saingan sengit kepada kami. Apa yang penting kami perlu berusaha untuk bertambah baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan," ujarnya. - BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Kami Sedia Pertahan Emas - Chaowat "