• KL2017: Final Kejar Mengejar Individu Lelaki: Emas, Perak Dalam Tangan

    Published: Monday, 28 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Malaysia bakal memperoleh satu lagi pingat emas dan perak apabila pelumba negara, Eiman Firdaus Mohd Zamri menempah tiket ke final acara kejar mengejar individu lelaki bertemu seorang lagi pelumba negara, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff di Velodrom Nasional, Nilai pada malam ini.

    Eiman Firdaus mencatatkan masa terpantas dalam pusingan kelayakan sekali gus membaharui rekod kebangsaan dengan catatan 4 minit 25.352 saat dalam perlumbaan sejauh 4 kilometer itu.

    Rekod kebangsaan sebelum ini dicatatkan Nur Aiman di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) pada Februari lalu dengan 4:38.576s.

    Nur Aiman pula mencatatkan masa kedua terpantas 4:27.957s untuk turut menempah tiket ke final.

    Perlumbaan penentuan gangsa pula menyaksikan kedua-dua pelumba Thailand, Thanawut Sanikwathi dan Navuthi Liphongyu bakal bertarung.

    Perlumbaan pecut individu pula menyaksikan jaguh trek negara, Azizulhasni Awang tidak menghadapi masalah untuk mara ke separuh akhir pecut individu lelaki apabila memenangi dua perlumbaan dalam pusingan suku akhir.

    Seorang lagi pelumba harapan negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom turut menempah tiket ke separuh akhir dengan memperoleh kemenangan dalam kedua-dua pusingan suku akhir.

    Acara omnium lelaki baru menamatkan dua daripada empat disiplin dengan dua wakil negara - Muhammad Zawawi Azman dan Sofian Nabil Omar Mohd Bakri akan menyambung perlumbaan malam ini. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Final Kejar Mengejar Individu Lelaki: Emas, Perak Dalam Tangan "