• KL2017: 'Emas Ini Untuk Arwah ayah'

    Published: Tuesday, 29 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: "Alhamdulillah, pingat emas ini untuk arwah ayah saya," demikian kata Ain Kamaruddin sebaik merangkul pingat emas Muay Thai, menewaskan atlet Thailand, Thachtana Luangphon dengan kiraan tipis 29-28 mata.

    Pemergian bapanya minggu lalu, ternyata menjejaskan persiapan mental Ain untuk temasya ini, namun atlet berasal dari Kuala Krai, Kelantan itu bangkit untuk menjuarai kategori 57 kilogram (kg).

    Ain yang kelihatan gagal menahan sebak selepas diumumkan sebagai pemenang berkata, pada awal pertarungan, dia berasa sedikit tertekan tetapi sokongan penonton dan kata-kata semangat jurulatihnya membuatkan dia tabah menghadapi lawan.

    Katanya, jurulatih negara Bernard Radin memberitahu supaya tidak memikirkan apa-apa, sebaliknya terus fokus kepada pertarungan dan ia membantunya bangkit untuk mengatasi setiap gerakan lawan dari Thailand itu.

    "Berkat sokongan penyokong, keluarga dan jurulatih, saya dapat menumpukan perhatian. Saya dapat stabilkan posisi dan menggunakan teknik yang sepatutnya untuk mengatasi lawan.

    "Terima kasih kepada semua, terutama keluarga, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan seluruh rakyat Malaysia. Pingat emas ini untuk anda semua," katanya.

    Sementara itu, pemenang pingat emas kategori 54kg, Mohd Ali Yaakub berkata, dia bersyukur kerana merangkul pingat emas walaupun baru menjalankan latihan intensif untuk Sukan SEA awal tahun ini.

    Katanya, sorakan penyokong membantunya berhadapan dengan lawan yang lebih berpengalaman.

    "Syukur saya dapat melakukannya hari ini, terima kasih kepada semua penyokong dan adik beradik yang turut datang memberi sokongan.

    "Ini kali pertama saya bertarung dengan atlet Thailand ini. Jurulatih memberitahu supaya saya terus bertahan untuk mengawal pertarungan dan melakukan serangan apabila berpeluang.

    "Syukur strategi itu menjadi. Saya hadiahkan pingat emas ini untuk kedua ibu bapa dan seluruh rakyat Malaysia. Alhamdulillah saya menang," katanya yang akan pulang ke kampung halaman di Besut, Terengganu untuk berehat sebelum kembali berlatih bagi menghadapi pertandingan akan datang. - BHOnline

    Foto Muhd Zaaba Zakeria

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: 'Emas Ini Untuk Arwah ayah' "