• KL2017: Duit Poket RM25,000 Untuk Pemain B-22

    Published: Monday, 7 August 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 22 tahun (B-22) meraih tonik terbaik menjelang Sukan SEA 2017 apabila menerima durian runtuh RM25,000 setiap seorang - hasil kejayaan meraih tiket secara merit ke Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China, tahun depan.

    Berita gembira itu diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan dilihat bakal menjadi suntikan motivasi terbaik selepas badan induk berkenaan sebelum ini turut mengumumkan insentif sebanyak RM6,000 kepada setiap pemainnya.

    Tunku Ismail berkata, sekiranya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu terus cemerlang dengan meraih ibu segala pingat pada temasya dwitahunan itu nanti, imbuhan lebih lumayan dijangka bakal menanti skuad itu.

    "Terpulang kepada pencapaian pingat emas. Sudah tentu saya akan bagi lebih lagi (insentif).

    "Kalau membanggakan negara, Insya-Allah ada rezeki... sudah tentu kerana mereka memang layak mendapatnya," katanya selepas perjumpaan bersama pasukan bola sepak dan futsal negara di sini, hari ini.

    Sebelum ini, skuad B-22 negara buat kali pertama mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam Kejohanan AFC B-23 di China tahun depan, selepas menjuarai Kumpulan H saingan kelayakan di Thailand, bulan lalu.

    Malaysia menduduki tangga teratas kumpulan itu selepas perlawanan terakhir di antara Thailand dan Indonesia terikat 0-0 yang akhirnya melonjakkan skuad muda negara ke tangga teratas kumpulan dengan enam mata selepas menewaskan Mongolia 2-0 pada aksi ketiga.

    Anak buah Kim Swee dalam aksi pertama mengalahkan Indonesia 3-0 sebelum tumbang kepada Thailand 3-0.

    "Selepas ini (Sukan SEA) mereka akan diperhatikan oleh seluruh peminat bola sepak tempatan. Tekanan pastinya meningkat namun saya percaya skuad kita mampu membuat kejutan, apatah lagi ia berlangsung di 'rumah' sendiri," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " KL2017: Duit Poket RM25,000 Untuk Pemain B-22 "