• KKM Siasat Dakwaan Pusat Dialisis Swasta Sukar Peroleh Lesen

    Published: Wednesday, 9 August 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius dakwaan bahawa terdapat penyelewengan dalam pengeluaran lesen pusat dialisis swasta sehingga seolah-olah dikuasai dan dikawal secara kartel serta menjadi ‘lubuk emas’ pegawai yang menguruskan kelulusan lesen ini.

    Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata kementerian pasti menyiasat dakwaan itu yang dianggap sebagai pertuduhan berat kerana jika benar berlaku ia boleh menjejaskan perkhidmatan pusat dialisis kepada pesakit dan mereka yang memerlukan rawatan.

    “Urusan lesen ini di bawah Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) KKM. Kita akan siasat perkara ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Dr Hilmi berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Siti Mariah Mahmud (Amanah-Kota Raja) yang mendakwa ada pusat dialisis sukar membuat permohonan atau memperbaharui lesen berpunca daripada sikap pegawai yang dipertanggungjawabkan yang sengaja menimbulkan masalah birokrasi.

    Siti Mariah berkata pengusaha perkhidmatan pusat dialisis turut mengadu bahawa urusan permohonan dan pembaharuan lesen itu seolah-olah dikawal secara kartel kumpulan tertentu serta menjadi ‘lubuk emas’ hingga berlaku pusat dialisis beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh.

    Mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586), berkuatkuasa 1 Mei 2006, semua pusat hemodialisis swasta perlu mempunyai Perakuan Kelulusan menubuhkan atau menyenggarakan dan lesen sebelum dibenarkan beroperasi bagi menjamin keselamatan pesakit dan kualiti jagaan kesihatan mengikut piawaian diperlukan.

    Pusat dialisis swasta yang didapati beroperasi tanpa lesen boleh didenda sehingga RM300,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai usaha kementerian dalam menyediakan perkhidmatan dialisis yang efektif, Hilmi berkata KKM sedang berusaha memperluas kaedah rawatan ‘Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis’ (CAPD), yang boleh dilakukan pesakit itu sendiri di rumah sebanyak tiga kali sehari.

    “Ini bagi menampung peningkatan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis, selain mengurangkan keperluan kemudahan dialisis untuk pesakit baharu,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " KKM Siasat Dakwaan Pusat Dialisis Swasta Sukar Peroleh Lesen "