• Kim Swee kekalkan 6 pemain kontroversi

    Published: Saturday, 12 August 2017
    A- A+

    SHAH ALAM: Enam pemain kontroversi yang tidak bersama skuad bawah 22 tahun negara (B-22) ke Bangkok bulan lalu antara 20 pemain yang diberikan kepercayaan untuk beraksi di Sukan SEA bermula Isnin ini.

    Jurulatih Datuk Ong Kim Swee sebaliknya menggugurkan lapan pemain daripada pasukan namun pemain yang tidak mendapat pelepasan pasukan pada kelayakan Kejohanan AFC B-23 di Bangkok iaitu Matthew Davies, Nor Azam Azih (Pahang), S Kumaahran, Syamer Kutty Abba (Pulau Pinang) dan Haziq Nadzli, Safawi Rasid (Johor Darul Ta'zim) terpilih wakili negara.

    "Ini bukan keputusan mudah, boleh dikatakan sebagai jurulatih dalam empat edisi Sukan SEA ini paling sukar. Lapan pemain yang digugurkan mempunyai kredibiliti masing-masing.

    "Kita mendapat kejayaan di Bangkok tapi ia sudah berlalu, saya percaya dengan gabungan enam, tujuh pemain baru, ia akan memantapkan pasukan," katanya dalam sidang media sebentar tadi.

    Bagaimanapun walaupun Amierul Hakimi Awang tidak berada dalam senarai akhir pemain, penjaga gol itu akan terus kekal bersama pasukan.

    "Bila ada penjaga gol yang mengalami kecederaan serius, mengikut peraturan kita boleh menukar pemain penjaga gol. Jadi Amierul perlu bersedia untuk digantikan pada bila-bila masa," kata Kim Swee.

    Skuad muda negara akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Brunei di Stadium Shah Alam, Isnin ini.

    Subjects:

  • No Comment to " Kim Swee kekalkan 6 pemain kontroversi "