• Khidmat Seks Ribuan Ringgit

    Published: Thursday, 17 August 2017
    A- A+

    TAWAU: Berselindung di sebalik pusat urut dan refleksologi, tiga premis yang menawarkan khidmat seks pada harga ribuan ringgit, di Takada, dekat sini, diserbu Jabatan Imigresen Tawau.

    Dalam serbuan 10.30 malam itu, 12 wanita warganegara Filipina, enam rakyat Thailand dan seorang warganegara Indonesia berumur 19 hingga 60 tahun yang disyaki bekerja sebagai tukang urut, pelayan pelanggan dan pekerja seks ditahan.

    Pemeriksaan mendapati, selain perkhidmatan urut dan refleksologi, satu daripada premis tiga tingkat itu ada bilik mewah dan eksklusif yang menawarkan pakej seks dengan harga mencecah ribuan ringgit.

    Ketua Imigresen Tawau, Noraini Rasi, berkata pemeriksaan turut mendapati ada bilik khas dipercayai dijadikan sebagai bilik seksaan (torture room), namun siasatan masih dijalankan mengenai kegunaan sebenar bilik itu.

    Katanya, satu lagi bilik khas dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengawasi premis.

    Beliau yang mengetuai 'Ops Gegar itu berkata, semua wanita ditahan didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah, selain menyalahgunakan pas lawatan sosial.

    "Kita turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai pemilik premis dan enam pelanggan lelaki warga Filipina," katanya di sini, hari ini.

    Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Pusat Tahan Sementara Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 55 (B) Akta Imigresen 1959/63.-Berita Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Khidmat Seks Ribuan Ringgit "